Tuesday, August 10, 2010

Mencapai KPI puasa

Mencapai KPI puasa

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
Utusan Online

MALAM ini, insya-Allah akan bermula sesuatu yang sangat indah. Sebagaimana indahnya sinaran neon lampu-lampu yang lazimnya menerangi masjid.

Tetapi pada malam ini dilihat lebih indah, lebih cantik dan yang lebih mengusik perasaan apabila suara sang bilal yang mula mengajak seluruh jemaah mengerjakan Solat Terawih!

Tanda bermulanya bulan Ramadan yang bakal menyaksikan seluruh umat Islam akan berpuasa esok hari!

Ramadan datang lagi! Tetapi mungkinkah tidak lagi selepas ini? Ini kerana kita tidak tahu selama bila hayat dikandung badan, entah tahun hadapan dapat bertemu lagi.

Satu-satunya bulan yang penuh keberkatan, keampunan dan dijanjikan ganjaran yang melimpah ruah daripada Allah, sayang jika ia dibiarkan berlalu begitu sahaja.

Atau sekadar kita berpuasa menahan lapar dan dahaga sedangkan puasa itu hanya satu cabang atau juzuk utama ibadat dalam bulan Ramadan. Ibadat-ibadat yang lain juga adalah satu kemestian untuk kita lakukan.

Lalu Ramadan yang datang kali ini, mengapa tidak kita 'raya'kan dengan penuh kemeriahan beribadat, melakukan lebih banyak amal yang menyebabkan di penghujungnya pemergian bulan ini kita tangisi, sedih kerana tidak mahu berpisah dengan bulan yang menjanjikan 'bonus' yang tidak terperi banyaknya.

Kecuali jika anda boleh melakukan solat Terawih misalnya di bulan-bulan lain, tetapi adakah?

"Lantas umpama setiap kali kita melakukan solat, anggaplah mungkin ini adalah solat terakhir yang kita dirikan. Maka solat itu adalah yang terbaik yang kita dirikan.

"Begitu juga setiap kali dengan hadirnya bulan Ramadan, mungkin lepas ini kita tidak berpeluang menemuinya lagi, maka hendaklah kita lakukan hanya yang terbaik untuk menyambut bulan tersebut.

"Oleh itu kita mesti selalu menganggap bahawa mungkin ini adalah Ramadan terakhir dan lazimnya apa juga peluang yang ditawarkan kita tidak akan lepaskan," kata Mohd. Meeftah Anuar, Penolong Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran, Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Beliau sebelum ini merupakan Penolong Pengarah (Khidmat Sosial) Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya berkata, puasa atau dari aspek lughah Arabnya disebut As-siam itu bermakna meninggalkan atau istilah syarak pengertian puasa ialah menahan diri daripada makan dan minum dan daripada segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai terbit fajar hinggalah terbenam matahari.

Yang kesemua itu adalah sebagaimana yang dilakukan oleh umat terdahulu, yang dengan ibadat berpuasa itu menyebabkan mereka menjadi umat yang bertakwa terhadap Allah.

Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 183: Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertakwa.

Dimaksudkan takwa di sini lazimnya perasaan takut dan kehambaan kita terhadap Allah maka pada bulan puasa ini, bagaimana takwa itu dapat ditingkatkan?

Menurut Mohd. Meeftah di bulan puasa, umat Islam akan menghadapi lebih banyak ujian apabila perut dalam keadaan lapar dan tekak begitu kehausan.

"Berbeza ujian di saat kita kenyang dan tidak dahaga, kita mampu bersabar tetapi hanya kerana lapar dan dahaga yang tidak seberapa itu akhirnya kita kalah.

"Walaupun tiada sesiapa yang mengetahui apa yang kita telah lakukan seperti curi-curi makan atau minum bahkan Allah itu umpamanya Sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV), Allah sentiasa memerhatikan kita," katanya.

Jika itu yang kita pegang tegas Mohd. Meeftah, takutkan Allah adalah melebihi segala-galanya berbanding takutkan kepada manusia maka Ramadan mampu menjadi guru terbaik untuk mendidik umat Islam agar sentiasa takutkan Allah, kerana Allah akan memerhati apa juga yang kita lakukan.

Begitu juga apabila kalangan umat Islam yang mampu berpuasa, malah dilihat seperti berpuasa tetapi yang sangat dikesalkan mereka tidak melakukan solat.

Tidak sahaja kerana tiadanya ketakwaan terhadap Allah tetapi kata Mohd. Meeftah, perkara itu tidak menghairankan kerana berpuasa itu mudah untuk dilakukan oleh mana-mana umat Islam.

"Semua orang boleh berpuasa kerana bagi mereka ia sekadar meninggalkan makan minum, tidak ada masalah, kita tidak memerlukan sebarang ilmu yang khusus.

"Tetapi jika melibatkan soal solat, ia melibatkan soal ilmu untuk pergerakan-pergerakan yang khusus dan bacaan-bacaan tertentu dan apabila kita tidak mempelajarinya bagaimana kita dapat mengamalkannya menyebabkan ibadat solat tidak dianggap sama penting seperti berpuasa itu sendiri setiap kali tibanya Ramadan," katanya.

Ini membawakan kita kepada banyak perkara dan isu-isu yang perlu dibereskan setiap kali tiba bulan Ramadan ini.

Ibadat Solat Terawih misalnya, beliau sangat berharap selain berpuasa pada hari siang pada sebelah malamnya, ia menjadi satu-satunya juga ibadat yang mendapat tumpuan oleh umat Islam.

"Kita tidak mahu surau-surau dan masjid-masjid dipenuhi oleh para jemaah solat Terawih pada awal-awal Ramadan sahaja, tetapi sehingga dihujung-hujungnya, rumah-rumah ibadat kita itu kembali sepi, kurang meriahnya.

"Alasan, sebab semua balik kampung?

"Tetapi masjid-masjid di kampung-kampung pun lengang juga, tidak ramai pun jemaah yang ingin berterawih," katanya.

Baginya tidak ada alasan bagi seseorang itu tidak berterawih sepanjang bulan Ramadan.

"Isunya mengenai soal rakaat sama ada hendak buat lapan rakaat atau 20 rakaat. Kita tak habis-habis gaduh mengenai itu. Ada yang kata Terawih itu mesti lapan rakat dan ada yang kata mesti 20 rakaat, termasuk ada yang kata 20 rakaat bidaah tetapi kalau lapan pula, dikaitkan dengan soal malas.

"Sedangkan semua itu ada dalil dan nasnya masing-masing. Akhirnya yang untung siapa? Mereka yang langsung tidak pernah berterawih!" katanya.

Sedangkan solat terawih itu, kata Mohd. Meeftah lagi boleh dilakukan secara berselang antara perkara lain yang kita perlu lakukan.

"Lepas Isyak kita buat empat rakaat, nanti kalau bangun untuk bangun sahur kita sambung lagi buat empat rakaat Terawih, tidak salah.

"Jadi jika seorang pengawal keselamatan misalnya mengadu tidak berkesempatan hendak berterawih atas alasan on duty, sedangkan masih ada banyak masa lain untuk dia beribadat.

"Sekalipun lapan rakaat secara berselang tetapi hakikatnya dia berjaya juga mendirikan solat terawih itu," katanya.

Ibadat ini didirikan juga bukan kerana kita hendak terlalu mengejarkan pelbagai ganjaran menarik yang menanti pada setiap malam.

Ini termasuklah jika solat Terawih pada ke lima misalnya, pahala atau ganjarannya seperti kita mengerjakan ibadat di tiga buah masjid paling suci iaitu Masjidil Haram di Mekah, Masjid Nabawi di Madinah dan Masjid Al Aqsa di Baitul Maqdis.

"Semua pelbagai ganjaran dan pahala yang kononnya dari malam pertama sehingga ke malam terakhir itu tidak lebih dari merupakan hadis-hadis yang daif sebagai faktor galakan.

"Tetapi ganjaran yang besar pasti ada kerana itu kita tidak jumpa ibadat solat terawih ini pada bulan-bulan lain," kata Mohd. Meeftah.

Namun menjadi harapan Mohd. Meeftah agar setiap masjid di negara ini digalakkan untuk mengadakan Malam Iktikaf Masjid terutama untuk 10 malam terakhir di bulan Ramadan.

"Ini semata-mata untuk kita mengejar Malam Lailatul Qadar yang kita semua tahu mengandungi terlalu banyak ganjaran yang Allah limpahkan buat hamba-hambanya yang beribadat pada malam tersebut.

"Pada malam-malam itu tidak sahaja didirikan solat terawih tetapi pihak masjid menyediakan imam yang baik untuk mengajak dan membimbing para jemaah untuk qiamullail (mendirikan solat malam), berzikir, berselawat dan lain-lain ibadat semata-mata dan sebagai satu daya tarikan pihak masjid juga boleh menyediakan makan sahur kepada para jemaah.

"Sama ada kita akan menemui atau tidak Malam Lailatul Qadar itu, hanya kita sendiri yang tahu tetapi yang kita mahukan sepanjang malam Ramadan, masjid menjadi rumah-rumah Allah yang gemerlapan cahayanya serta imarah dan meriah suasananya bagi menambahkan keimanan dan kecintaan umat terhadap agamanya," katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0810&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm

No comments: