Wednesday, September 08, 2010

Ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1431 Hijrah


Ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1431 Hijrah
Ramadhan yang kita cintai akan berlalu akan meninggalkan kita dalam beberapa hari lagi. Dalam masa beberapa hari lagi kita akan menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri

Dikesempatan Hari Raya Aidilfitri ini Azril ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin untuk :--

Mak dan Ayah - Tuan Haji Hamzah Bin Ismail dan Puan Hajah Siti Roselina Indrayati binti Mohd Sulaiman.
Selamat Hari Raya Aidilfitri Mak Ayah. Azril Mintak Ampun dan Maaf dari hujung rambut hingga hujung kaki azril pohonkan atas segala kesalahan yang telah azril lakukan dari azril kecil hingga azril besar. Terima kasih kerana siang dan malam mendoakan kesejahteraan azril dan terima kasih kerana telah memberikan kasih dan sayang pada azril. Azril sayang Mak dan Ayah. Doakan kesejahteraan Azril dan Azlina semoga kami bahagia di Dunia dan Akhirat.

Mak dan Abah Mertua - Tuan Ahmad Bin Darus dan Puan Halijah Binti Ahmad
Selamat Hari Raya Aidilfitri Minta Ampun dan Maaf dari hujung rambut hingga hujung kaki saya pohonkan atas segala kesalahan yang telah saya lakukan. Doakan saya dan Azlina bahagia di Dunia dan Akhirat.

Isteri Tercinta - Puan Azlina Binti Ahmad
Selamat Hari Raya Aidilfitri Minta Ampun dan Maaf terhadap semua kesalahan yang telah abang lakukan pada sayang. Doakan semoga rumahtangga kita kekal bahagia di Dunia dan Akhirat. Terima Kasih sayang kerana terus menyintai abang siang dan malam dan terus memberikan sepenuh kasih sayang pada abang serta sabar dan sanggup melayan kerenah abang yang sukar difahami ini. Terima Kasih sayang atas segalanya. Selagi hayat dikandung badan selagi itulah cinta abang pada sayang.

Adik-adik - Koperal Azil Fikri, Encik Azam Hafiz, Cik Farah Zalina, Cik Fatimah Zahra, Encik Muhammad Muhaimin, Cik Farhana Zuhaira dan Cik Nur Hannah
Selamat Hari Raya Aidilfitri Minta Ampun dan Maaf atas apa yang apa yang abang dah lakukan. Abang sayang hangpa semua.

Kak Ipar - Puan Azilawati dan Adik Ipar - Puan Aizaan Binti Ahmad serta biras - Encik Ahamad Sapawi dan Encik Nuril Azwa
Selamat Hari Raya Aidilfitri Minta Ampun dan Maaf atas apa kesalahan yang dibuat

Allahyarhamah Cik Farhana Zuhaira Binti Hamzah
Selamat Hari Raya Aidilfitri Minta Ampun dan Maaf, abang sentiasa ingat akan Farhana walau dimana abang berada. Semoga Farhana ceria dan gembira disana.

Mak/Tok/Pak Saudara/sepupu/2 pupu/sepupu jauh dan dekat
Selamat Hari Raya Aidilfitri Minta Ampun dan Maaf atas apa yang azril lakukan

Kawan kawan
Selamat Hari Raya Aidilfitri Minta Ampun dan Maaf atas apa yang Azril dah lakukan dan Azril harap kesalahan Azril jangan simpan dalam hati.

Orang yang mengenali
Selamat Hari Raya Aidilfitri Minta Ampun dan Maaf atas apa kesalahan yang dibuat.

Rakan rakan blog
Selamat Hari Raya Aidilfitri Minta Ampun dan Maaf atas apa kesalahan yang dibuat.

Ketua di pejabat dan bekas ketua
Selamat Hari Raya Aidilfitri Minta Ampun dan Maaf atas apa kesalahan yang dibuat.

Yang DiPertuan Agong dan Sultan Sultan Negeri Melayu
Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin, Dirgahayu Tuanku Daulat Tuanku

Yang Dipertuan Negeri Pulau Pinang
Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin, Semoga Allah panjangkan usia Tun

Ketua Kerajaan, Ketua Negara dan Ketua Eksekutif Negara
Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin, terima kasih kerana telah membawa tanahair berdaulat ini ke mercu dunia dan terima kasih kerana menjadikan Malaysia aman dan makmur.

Umat Islam di Malaysia, seluruh Dunia dan seluruh pelusuk Alam Semesta
Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin. Kita semua adalah saudara dan apa yang pasti Islam Pasti Agung Semula

Buat Bangsa Melayu Islam
Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin. Takkan melayu hilang di dunia. Melayu kan Gagah di Nusantara dan Di Dunia. Bangunlah bangsaku kerana Perjuangan kita masih belum selesai..

Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua umat Islam di seluruh pelusuk alam semesta ini. Maaf Zahir dan Batin. Mintak ampun dan maaf terhadap kesalahan yang saya telah buat. Semoga bergembira di hari yang berbahagia ini.
...............................................................

Apa yang pasti baju ini adalah baju tahun lepas dan baju tahun ini berwarna ......(rahsia)

Adab menyambut Aidilfitri - Utusan Online

Adab menyambut Aidilfitri - Utusan Online

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
Utusan Online

SEBAGAI hadiah kemenangan orang-orang Islam dalam perjuangan mengengkang hawa nafsu di bulan Ramadan Allah SWT membalasnya dengan satu hari yang dinamakan 'Aidilfitri atau Hari Raya Fitrah', di mana Allah menghalalkan mereka berbuka puasa dan mengharamkan berpuasa pada hari tersebut.

Dalam keghairahan menyambut Hari Raya yang mulia adalah wajar ia disambut mengikut lunas-lunas yang digariskan oleh syarak dan tidak dicampur dengan perkara yang dilarang atau yang diharamkan. Hari Raya memang tidak boleh disamakan dengan sambutan perayaan-perayaan yang lain, kerana ia merupakan kurniaan Allah khusus kepada hamba-hamba yang beribadat dan berjuang melawan hawa nafsu sepanjang Ramadan.

Apakah adab-adab dan perkara-perkara sunat yang dilakukan ketika menyambut kedatangan Hari Raya?

Banyak fadilat atau kelebihan yang terdapat pada malam Hari Raya. Oleh sebab itu, di antara adab-adab dan perkara-perkara sunat yang telah digariskan oleh syarak untuk kita melakukannya ialah menghidupkan malam Hari Raya itu dengan melakukan amal-amal ibadat seperti mendirikan solat fardu secara berjemaah, melakukan solat sunat, bertakbir, memanjatkan doa ke hadrat Ilahi dan melakukan apa-apa jua bentuk perkara yang berkebajikan.

Imam Syafie r.a telah menegaskan bahawa malam Hari Raya itu adalah di antara malam-malam yang mudah diperkenankan doa, sebagaimana beliau berkata di dalam kitabnya Al-Umm: "Telah sampai kepada kami bahawasanya pernah dikatakan, sesungguhnya doa itu sungguh mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Hari Raya Aidiladha, malam Hari Raya Fitrah, awal malam Rejab dan malam Nisfu Syaaban.

Perlu diingat juga, kelebihan menghidupkan malam Hari Raya itu tidak akan diperolehi melainkan dengan mengisi dan menghidupkan sebahagian besar malam tersebut, sebagaimana mengikut pendapat yang sahih.

Kemeriahan Hari Raya lebih dirasai apabila laungan takbir bergema. Namun begitu, tidak bermakna takbir itu semata-mata untuk memeriahkan suasana tetapi lebih dari itu, ia lebih bersifat untuk melahirkan rasa kesyukuran dan mengagungkan Allah SWT. Allah memerintahkan kepada kita mengakui akan kebesaran dan keagungan-Nya dengan mengucapkan takbir.

Ucapan takbir pada malam Hari Raya itu merupakan ibadah yang kita lakukan untuk melepaskan Ramadan dan untuk menyambut kedatangan Aidilfitri. Oleh sebab itu, disunatkan kepada kita mengucapkan takbir dengan mengangkat suara, bermula waktunya dari terbenam matahari malam Hari Raya sehingga imam mengangkat takbiratul ihram sembahyang Hari Raya. Firman Allah Ta'ala:

Maksudnya: Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur. (Surah Al-Baqarah: 185)

Di pagi Hari Raya pula disunatkan mandi kerana Hari Raya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu 'Abbas dan Al-Fakih bin Sa'd r.a bahawa Rasulullah SAW melakukan mandi pada Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Aidiladha. Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Majah.

Di samping itu disunatkan juga memakai pakaian yang sebaik-baiknya, memakai harum-haruman dan menghilangkan segala bau-bau yang tidak elok. Tidak kira sama ada orang itu hendak keluar pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang Hari Raya ataupun duduk sahaja di rumah, kerana hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias. Diriwayatkan daripada Ja'far bin Muhammad daripada bapanya daripada datuknya:

Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah SAW memakai kain yang bergaris-garis (untuk diperselimutkan pada badan) pada setiap kali Hari Raya.

Sebelum ke masjid untuk menunaikan solat sunat Hari Raya disunatkan makan dan minum terlebih dahulu kerana mengikut apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan daripada Anas r.a beliau berkata:

Maksudnya: Nabi SAW tidak keluar pada waktu pagi Hari Raya Fitrah sehingga baginda makan (terlebih dahulu) beberapa biji tamar dan baginda memakannya dalam bilangan ganjil. (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Ahmad).

Selain itu, Hari Raya merupakan hari kemenangan dan kegembiraan, maka sebab itu disunatkan bagi sesama Muslim saling mengucapkan tahniah antara satu sama lain.

Daripada Jubair bin Nufair, di mana beliau merupakan salah seorang Tabi'in (orang-orang yang datang setelah Sahabat Nabi SAW) telah berkata (maksudnya): Sahabat-sahabat Rasulullah SAW apabila mereka berjumpa di Hari Raya, setengahnya mengucapkan, "Semoga Allah menerima daripada kami dan menerima-Nya daripada awak.

Menurut pandangan jumhur ulama bahawa mengucapkan tahniah di Hari Raya merupakan sesuatu perkara yang disyariatkan di dalam Islam.

Manakala itu pula, amalan saling ziarah menziarahi rumah terutama sekali saudara mara terdekat dan sahabat handai merupakan suatu tradisi yang sentiasa diamalkan ketika menyambut Hari Raya. Amalan ini juga sebenarnya termasuk di dalam perkara yang digemari dan disyariatkan di dalam Islam.

Dalil yang menunjukkan pensyariatannya sebagaimana yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a, beliau berkata: 'Rasulullah SAW masuk kepadaku, dan di sisiku ada dua orang anak perempuan yang menyanyi dengan nyanyian Bu'ats. Lalu Baginda baring di atas hamparan dan memalingkan mukanya, dan kemudian Abu Bakar masuk, lalu mengherdikku dengan berkata: "Seruling syaitan di sisi (di tempat) Nabi SAW!" Rasulullah menghadap kepada Abu Bakar lalu berkata: "Biarkan mereka berdua itu." Melalui riwayat Hisyam Baginda menambah: "Wahai Abu Bakar, masing-masing kaum ada hari rayanya, dan hari ini adalah Hari Raya kita. (Hadis riwayat Al-Bukhari).

Al-Hafizh Ibnu Hajar Al-'Asqalani menerangkan di dalam kitabnya Fath Al-Baari bahawa kedatangan atau masuknya Abu Bakar ke dalam rumah Rasulullah SAW menunjukkan seolah-olah Abu Bakar datang sebagai pengunjung atau penziarah selepas masuknya Rasulullah SAW ke dalam rumah baginda.

Sehubungan dengan perkara ziarah menziarahi ini, adalah ditekankan kepada orang yang pergi berziarah supaya sentiasa komited terhadap etika ziarah yang ditetapkan oleh Islam. Umpamanya hendaklah meminta izin atau memberi salam sebelum masuk, tidak menghadapkan muka langsung ke arah pintu, menjaga adab kesopanan ketika berada di dalam rumah orang yang diziarahi, memilih waktu yang sesuai untuk berziarah dan sebagainya.

Dalam keghairahan menyambut Hari Raya, perlu diingat jangan sesekali sampai lupa kewajipan kita kepada Allah iaitu mendirikan solat fardu, dan kerana terlalu seronok jangan pula adanya berlaku perlanggaran batasan-batasan agama.

Apa yang diharapkan daripada sambutan Hari Raya sebenarnya bukannya semata-mata kegembiraan atau keseronokan tetapi yang lebih penting dan lebih utama lagi ialah mendapatkan keberkatan dan keredaan Allah SWT.

Semoga kita semuanya mendapat keberkatan dan keredaan Allah SWT kerana menghidupkan, membesarkan dan mengagungkan Hari Raya Aidilfitri.

sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0920&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm