Monday, September 05, 2011

Al Fatihah Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor

Al Fatihah Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor


Al Fatihah buat Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor yang telah syahid 3 Syawal 1432 Hijrah yang lalu ketika menjalankan tugasannya di Somalia dan takziah untuk ahli keluarganya.

pix_gal0


'Noramfaizul mati syahid'


KUALA LUMPUR: Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut menyifatkan kematian Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor sebagai mati syahid akhirat kerana terkorban ketika bertugas dalam misi menghapuskan kejahilan, kemiskinan dan penyakit yang melanda Somalia. 

Beliau berkata, mati syahid terdiri daripada tiga bahagian iaitu mati syahid dunia, mati syahid akhirat dan mati syahid dunia akhirat.

“Syahid dunia menjurus kepada peperangan kerana dunia, syahid akhirat pula merujuk kepada kematian yang disebabkan penyakit berbahaya seperti wabak taun atau ditembak, manakala pejuang yang mati disebabkan perang bagi mempertahankan agama Islam pula dianggap mati syahid dunia akhirat.
“Dalam kejadian menimpa arwah, pahala kematiannya insya-Allah syahid akhirat, namun urusan pengebumiannya masih perlu melalui proses sama seperti jenazah lain iaitu dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan akhir sekali dikebumikan di tanah perkuburan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam. 

Beliau berkata, pemergian Allahyarham boleh diibaratkan sebagai sesuatu yang patut dikenang oleh semua lapisan masyarakat di negara ini. 

Noh juga menyeru orang ramai melakukan solat jenazah ghaib terhadap Allahyarham sebagai menghargai pengorbanan beliau sepanjang menjalankan tugasannya. 
sumber : Berita Harian 


Noramfaizul mati syahid - Tan Sri Harussani Zakaria

KUALA LUMPUR 4 Sept. – Jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd. Nor yang terbunuh di Somalia boleh disifatkan sebagai mati syahid kerana Allahyarham terkorban semasa misi membantu meringankan penderitaan dan kesengsaraan rakyat Somalia yang majoritinya beragama Islam.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, sebagai umat Islam, Allahyarham layak diberi pengiktirafan tertinggi itu kerana turut telah membuka mata rakyat negara ini akan penderitaan yang dialami rakyat Somalia.
“Allahyarham yang terlibat dalam misi kemanusiaan ini serta rakan-rakan media lain ternyata pejuang yang hebat kerana berani untuk membuat liputan di negara yang bergolak seperti Somalia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Disambut sebagai wira

SUBANG 4 Sept. - Jenazah jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd. Nor yang maut kerana terkena tembakan curi ketika membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, Somalia disambut sebagai wira negara di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini hari ini.


Jenazahnya yang tiba pada pukul 10.05 pagi dengan pesawat C-130 TUDM disambut kira-kira 500 orang terdiri daripada ahli keluarga serta rakan-rakan media yang lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta isteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut hadir menyambut ketibaan jenazah Noramfaizul serta kepulangan pasukan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Somalia.

Jenazah Noramfaizul juga diberikan penghormatan tertinggi apabila kerandanya diletakkan dengan bendera Jalur Gemilang sebagai tanda penghargaan terhadap keberanian serta kesungguhannya menjalankan tugas untuk negara walaupun sedar risiko yang harus dihadapinya.

Jenazah Noramfaizul selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Universiti Putra Malaysia, Serdang, dekat sini, petang ini.


Noramfaizul wira negara – PM

Oleh ABDUL YAZID ALIAS

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyempurnakan solat jenazah Allahyarham Noramfaizul Mohd. Nor di masjid Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang, semalam. – BERNAMA





SUBANG 4 Sept. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Allahyarham Noramfaizul Mohd. Nor yang terkorban ketika menjalankan tugas dalam Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia akibat tembakan curi di Mogadishu, Jumaat lalu sebagai wira negara.


Sambil melahirkan rasa kagum terhadap keperibadian Allahyarham, Najib menegaskan, pemergian jurukamera BernamaTV itu harus dijadikan model, perangsang serta semangat untuk meneruskan peranan Malaysia dalam membantu negara-negara di seluruh dunia.

“Saya amat kagum dan diberitahu Allahyarham seorang yang kuat semangat, sukakan cabaran dan sering mengikuti misi kemanusiaan di luar negara walaupun menghadapi pelbagai risiko, selain cekal dan tabah mengharungi rintangan bagi memberikan laporan terbaik kepada Malaysia.

“Beliau menaikkan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang ke hadapan membantu negara lain yang memerlukan akibat malapetaka, kecelakaan termasuk kebuluran yang berlaku di Somalia.

“Saya sifatkan beliau wira negara dan kita patut melihat pengorbanan Allahyarham sebagai model, kisah yang merangsang serta semangat untuk terus memainkan peranan negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas bersama-sama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor menyambut ketibaan jenazah Allahyarham Noramfaizul di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini hari ini.

Turut sama menyambut jenazah Allahyarham ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Mengulas lanjut mengenai insiden yang menimpa Allahyarham, Najib turut menyatakan kejadian sedemikian tidak seharusnya mematahkan semangat seluruh rakyat negara ini untuk terus membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Dalam pada itu, Najib yang mewakili kerajaan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Noramfaizul dan turut memberi jaminan akan membantu keluarga termasuk kos persekolahan dua anak Allahyarham, Mohd. Irfan, 8, dan Mohd. Naufal, 3.

“Kita akan beri bantuan sebaik-baiknya, saya akan bincang. Insya-Allah, kos pelajaran anak-anak Allahyarham akan kita bantu, jumlah akan ditentukan nanti,” jelasnya.

sumber Utusan Malaysia 


Al Fatihah. Semoga Allah menempatkan roh Allahyarham disisi para syuhada yang syahid dijalan Allah dan orang yang yang soleh.

...............................................................