Wednesday, February 13, 2013

Kisah Telefon Pintar Google Nexus 4 - Telefon Pintar Terbaik Dunia


Kisah Telefon Pintar Google Nexus 4 - Telefon Pintar Terbaik Dunia

Tujuan Azril menulis kali ini bukanlah untuk bercerita tentang kemaskini Android 4.1.2, Android 4.2 dan Android 4.2.1 tetapi berkenaan dengan kisah telefon pintar Google Nexus 4 yang dibeli oleh isteri Azril pada 19 Januari 2013.

Disebalik kisah kami sehingga kami memiliki telefon pintar Google Nexus 4 tersebut terselit satu imbasan yang menarik dan penceritaan Azril bermula disini ........................


Pada 25 Oktober 2012 yang lalu, Azil mendengar berita yang cukup menggembirakan bagi peminat telefon pintar dimana Google akan melancarkan Sistem Pengendalian (Operating System) yang terbaru pada 29 Oktober 2012. Pelancaran sistem pengendalian Android 4.2 turut sama dilancarkan bersama telefon pintar  dan tablet Nexus yang terbaru iaitu telefon pintar Nexus 4, tablet Nexus 7 32gb dan tablet Nexus 10 32gb. Tetapi apabila Azril melayari internet pada 28 Oktober 2012, Azril mendengar berita yang Google telah menangguhkan kesemua pelancaran tersebut disebabkan taufan Sandy.

Semenjak dari hari tersebut, setiap hari Azril melayari laman sesawang yang berkaitan dengan telefon pintar untuk mengetahui bilakah pelancaran akan datang. Selain itu Azril juga telah mengakses laman sesawang untuk mengetahui dengan lebih dekat lagi mengenai telefon pintar dan tablet dalam keluarga Nexus yang terbaru yang membuatkan Azril hanya dapat menelan air liur sahaja.

Antara yang mendapat liputan paling luas adalah telefon pintar Google Nexus 4 yang menggantikan telefon pintar Google Galaxy Nexus yang merupakan salah satu telefon pintar yang dapat menyaingi telefon i (iPhone) keluaran Apple. Dari segi spesifikasi alatan telefon pintar Google Nexus 4 memang terbaik kerana ia merupakan telefon pintar terbaik yang pernah dikeluarkan oleh Google selain telefon pintar Galaxy Nexus. Apa yang membuatkan Azril terpaku adalah keindahan rekabentuk dan grafik yang cukup menawan  dan Azril juga diberitahu bahawa badan keseluruhan telefon bimbit Google Nexus 4 diperbuat dari kaca sepenuhnya ditambah pula dengan sistem pengendalian Android 4.2 yang terbaru.

Selain itu kelahiran tablet baru dalam keluarga Google Nexus turut sama memeriahkan dunia alatan canggih yang terkini. Sebelum ini Google hanya mengeluarkan tablet Nexus 7 sahaja yang berkeupayaan simpanan 8 dan 16 gb sahaja tetapi kali ini ditambah pula dengan kehadiran 32gb ruang simpanannya. Antara tablet terbesar dalam keluarga Nexus adalah Nexus 10 dimana ruang simpanannnya adalah 16 gb dan 32 gb dan alangkah indahnya jika Azril dapat memiliki kesemuanya.

Pada 10 November yang lepas Azril menerima satu perkhabaran yang membuatkan Azril gembira adalah kerana Google akan melancarkan telefon pintar Nexus 4, tablet Nexus 7 dan Nexus 10 serta sistem pengendalian Android 4.2 pada 13 November 2012 nanti. Antara perkhabaran yang membuatkan Azril bertambah gembira adalah Google akan menghantar pemberitahuan tentang pengemaskini sistem bagi pemilik telefon pintar Galaxy Nexus, Google Nexus S dan tablet Nexus 7 selepas pelancarannya nanti.

Pada 13 November 2012 telefon pintar Nexus 4 dan tablet Nexus 7 dan Nexus 10 tersebut telah dilancarkan secara rasmi secara dalam talian melalui laman Google Play di Britain, tetapi yang menjadi masalah adalah kesemua telefon pintar tersebut telah habis tidak sampai sejam dari masa pelancarannya. Ini membuatkan peminat telefon pintar Google Nexus 4 mengeluh panjang kerana tidak dapat mendapatkannya. Pada pendapat Azril ketika itu, bilakah ia akan dilancarkan di Malaysia nanti? Apabila dilancarkan nati apakah harganya sama seperti Google Galaxy Nexus yang dijual dengan harga RM 2099 nanti?

Awal Disember 2012, Azril juga mendengar perkhabaran yang telefon pintar Google Nexus 4 akan dilancarkan di Malaysia pada penghujung tahun 2012. Pada pertengahan Disember 2012 pula, Azril menerima satu lagi berita yang telefon pintar Google Nexus 4 akan dijual dengan harga RM 1799 sebuah. Pada fikiran Azril ketika itu, jika telefon Nexus 4 dilancarkan dengan harga tersebut Azril hanya boleh menelan air liur sahaja.

Pada 14 Januari 2012, Azril menelefon pusat panggilan LG Malaysia dan bertanyakan tentang telefon pintar Nexus 4. Pegawai khidmat pelanggan yang menyambut panggilan telefon tersebut telah memaklumkan pada Azril yang telefon pintar Google Nexus 4 16 gb telah dikeluarkan di Malaysia dan hanya boleh didapati melalui Pusat Jualan Digi atau secara dalam talian. Azril bertanya lagi jika berapakah harganya jika Azril ingin mendapatkan telefon pintar tersebut tanpa terikat kontrak dengan mana mana syarikat telekomukasi. Jawapan yang Azril terima adalah tidak boleh kerana Digi telah membuat permohonan rasmi untuk mendapat telefon pintar tersebut dan LG Malaysia hanya membenarkan Digi sahaja menjual telefon tersebut setakat ini.

Setelah habis perbualan dengan pegawai khidmat pelanggan LG Malaysia, Azril terus menelefon pusat panggilan Digi. Pegawai khidmat pelanggan Digi mengiakan perkara tersebut dan memberitahu Azril yang telefon pintar tersebut hanya boleh didapati sama ada di pusat jualan Digi atau di dalam talian dengan harga RM 1499 sahaja bagi telefon pintar Nexus 4 yang berkeupayaan 16 gb dan pelanggan hanya terikat dengan kontrak selama sebulan sahaja. 

Tiba tiba satu perkhabaran yang membuatkan Azril gembira adalah isteri Azril memberitahu Azril yang dia teringin sangat untuk memiliki telefon pintar tersebut dan pada 19 Januari 2012 kami pun terus ke pusat jualan Digi yang terletak di Kuantan Megamall dan syukur Alhamdulilah kami berjaya mendapatkan telefon pintar tersebut. Pada pendapat Azril Google Nexus 4 merupakan telefon pintar terbaik dunia setakat ini, ini boleh diukur melalui kepantasannya, kecantikan rekabentuk, kualitinya, harganya dan keupayaannya.

Kotak yang membuatkan sesiapa sahaja akan tersenyum apabila memandangnya
.
Sekali imbas telefon pintar Google Nexus 4 nampak seperti abangnya Google Galaxy Nexus
.
Corak bertitik yang sungguh menawan dibelakangnya
.
Maklumat tentang telefon
.
Penunujuk tanda aras telefon, walaupun tanda aras di nombor 2 tetapi ia berjaya meletakkan Google Nexus 4 sebagai telefon pintar terbaik dunia dari segi harga, kualiti dan kepantasan
.
Paparan muka yang menarik