Tuesday, February 12, 2013

Kisah Proton Preve


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمـنِ الرَّحِيْمِ
.
Asalamualaikum, Segala puji bagi Allah S.W.T Tuhan Pencipta langit dan bumi yang merupakan kemuncak keAgungan cinta yang tiada batasan. Selawat dan Salam ke atas yang dicintai dan teramat dirindui junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga baginda dan para sahabat sekalian
..............................................
'''''''''''''''''''''''''''''
'

Kisah Proton Preve

Proton Preve telah dilancarkan secara rasmi pada 16 April 2012 oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, sejak dari hari pelancaran tersebut nama Proton Preve atau Proton Tuah terus meniti di bibir Azril dan Puan Azlina. Pada 21 April 2012 buat pertama kalinya Azril dan isteri tercinta memandu uji kereta tersebut di Pusat Jualan Proton Indera Mahkota Pahang Darul Makmur. Syukur Alhamdulilah pada 11 Jun 2012 kami berjaya memiliki kereta tersebut.

Disebalik kisah kami sehingga kami memiliki Proton Preve tersebut terselit satu imbasan panjang dimana kami telah jatuh cinta pada Proton Preve sejak awal lagi.

Alkisah coretanku bermula ..............

Pada 10 Disember 2010 yang lalu Azril dan Puan Azlina mengunjungi Pameran Motor Antarabangsa Kula Lumpur (KLIMS 2010) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan tujuan utama kami kesana adalah untuk mengunjungi Galeri Proton. Keterujaan kami hingga membuatkan kami sampai disana adalah disebabkan Proton memperkenalkan 5 buah kereta konsep Proton Pahlawan Melayu yang lain dari yang lain.

Disebalik kecantikan dan rekabentuk yang menawan 5 buah kereta konsep Proton Pahlawan Melayu terdapat sebuah sebuah kereta konsep yang membuatkan kami terpaku adalah kereta konsep Proton Tuah. Ini adalah disebabkan rekabentuk Proton Tuah yang lain dari yang lain yang menunjukkan keaslian dari segi rekabentuk dan tidak terikut dengan mana mana rekabentuk sebelum ini. Kami mengambil masa yang agak lama di dewan utama KLIMS 2010 disebabkan minat kami yang mendalam pada kereta nasional yang baru dipamerkan terutamanya Proton Tuah yang cukup menawan.

Kisah ini tidak berakhir pada hari lawatan kami ke KLIMS 2010 sahaja, kecantikan rekabentuk Proton Tuah terus berada didalam ingatan Azril sehingga setiap minggu Azril akan melayari laman sesawang yang menceritakan tentang Proton Tuah. Sehinggalah di suatu tengahari...

Azlina : Abang ayang rasa macam nak beli saja Proton Tuah tu kan kalau keluar nanti.

Azril   : Tu lah, abang pun rasa macam tu tapi kewangan kita kan terhad. Sebab kita kan dok jauh

Azlina : Tak apa kalau kita dapat tinggal sekali baru kita beli.

Azril   : InsyaAllah, jom kita doa bagi cepat sikit kita dapat dok sekali.

Azlina : Bila Proton Tuah tu nak keluar? Abang tahu tak bila?

Azril   : Tu lah, tak tau bila nak keluaq tapi ada sumber kata Proton Tuah bukan hanya sekadar kereta konsep saja.

Azlina : Ayang pun harap macam tu.........

Azril   : Abang pulak harap agar kereta Proton Tuah tu tak guna enjin luaq, biaq lah dia pakai enjin Campro atau lagi canggih dari Campro asaikan enjin tu buatan tempatan.

Seperti biasa Azril terus mengikuti perkembangan Proton Tuah melalui laman sesawang terutama sekali di laman rasmi Proton. Akhirnya pada 15 Disember 2010, salah satu kereta konsep Pahlawan Melayu dilancarkan secara rasmi iaitu Proton Saga FL merupakan model gantian bagi Proton Saga BLM yang mempunyai sedikit persamaan dengan Proton Kasturi.

"Hmmm.... Proton Kasturi dah lancar dah mungkin esok lusa, Proton Tuah pulak", kata Azril didalam hati

Akhirnya pada 16 Disember 2010 melalui berita Buletin Utama di Tv3 Azril mendengar bahawa Proton Holding akan melancarkan model baru Proton Persona R. Melalui temuramah dengan Pengarah Urusan Proton ia memberitahu bahawa Proton Persona R akan menggunakan enjin Campro, jimat minyak dan mesra alam serta enjin Campro akan ditingkatkan kuasa menjadi Campro Turbo. Pengarah Urusan Proton membuatkan semua tertanya tanya dengan ayat

"Saya tidak nyatakan yang mana satu tetapi kereta konsep yang akan dijadikan Persona R tersebut berada di KLIMS 2010", kata Dato Seri Syed Zainal Abidin melalui berita Buletin Utama 16/12/2010.

Sejam kemudian telefon pun berdering setelah bertanya khabar antara satu sama lain dan bersembang bagi melepaskan kerinduan dan dialog mengenai Proton Tuah bermula lagi.

Azlina : Abang tengok tak berita kat Tv3 tadi, Pengarah Proton cerita tentang kereta baru.

Azril   : Tengok, tadi masa awai pukui 8 tadi abang bukak Berita Perdana tv1, lepaih tu abang alih pulak tv3 3 minit lepaih tu ada cerita tentang Persona R

Azlina : Dah jadi kenyataan nampaknya Proton Tuah ni.

Azril   : InsyaAllah, tapi depa kata kereta tu keluaq dalam tahun 2012

Azlina : Nama enjin dia lain sikit, tapi dia sebut Campro

Azril   : Bukan nama lain tapi enjin tu depa bagi jadi kuat dan nama enjin tu Campro Turbo

Azlina : Harap harap tak mahal kan abang.

Azril   : Tu lah, abang pun harap macam tu

Azlina : Harap harap harga dia dalam 60 sampai 70 ribu saja

Azril   : Hmmm, abang pun harap macam tu, tapi kalau harga dia sampai 100 ribu lebih kita memang tak mampu nak beli setakat angan angan sajalah.

Azlina : Hahahaha...........

Seperti biasa Azril mengikuti perkembangan Proton Tuah melalui laman maya dan kawan kawan azril di seluruh pelusuk tanahair. Sehinggalah pada bulan Mac 2011 yang lepas, salah seorang kawan Azril memberitahu bahawa kereta konsep Proton Tuah telah berjaya dijelmakan dan dalam masa beberapa bulan lagi kereta tersebut akan dipandu uji di berepa lebuhraya diseluruh negara.

Pada bulan Jun 2011 beberapa laman blog telah menyiarkan rakaman secara tak sengaja gambar Proton Persona R yang dimana beberapa bahagian lampun belakang dan hadapannya yang ditutup bagi mengelakkan dari dikenali. Memang nampak gagah dan tinggi setanding model Proton Tuah nampak gayanya penjelmaan Proton Tuah ke alam nyata semakin menjadi kenyataan fikir Azril ketika itu. Tetapi bukan itu sahaja, didalam beberapa laman blog kereta juga menceritakan rakaman mereka tentang Proton Exora yang diubahsuai dengan keupayaan enjin turbo yang sama dengan Proton Tuah.

Pada awal bulan Julai, Azril menerima servis pesanan ringkas (sms) dari kawan Azril yang menyatakan bahawa dalam bulan ini juga Proton Holding akan melancarkan sebuah lagi kereta baru. Seperti biasa Azril tertanya tanya adakah kereta konsep pahlawan melayu dijelmakan atau sekadar peningkatan kualiti atau rekabentuk kereta sedia. Berita dari khidmat pesanan ringkas tersebut menjadi kenyataan pada 25 Julai 2011, Proton Holding melancarkan kereta terbaru iaitu Proton Saga FLX yang yang telah dipertingkatkan dari model Proton Saga FL dan mempunyai sedikit persamaan dengan Proton Kasturi. Azril juga mendengar berita yang dimana hasil peningkatan tersebut akan digunakan dalam pembuatan model Proton akan datang seperti sistem gear CVT iaitu Transmisi Pembolehubah Berturutan (Continuously variable transmission). Teknologi transmisi pembolehubah berturutan ini juga memboleh penukaran gear secara automatik menjadi lebih lembut dan tanpa disedari gear sedang berubah mengikut mod kelajuan.

Pada pertengahan Julai 2011, berita tentang Proton Tuah atau Persona R sekali lagi mendapat perhatian  bahawa Proton akan membangunkan kereta globalnya yang pertama dan melalui sidang media pada 25/7/2011 Pengarah Urusan Proton juga memaklumkan kereta global Proton tersebut akan menjadi perintis kepada transformasi pengeluaran kereta global proton yang berkualiti tinggi setanding dengan model lain dipasaran dunia. Dalam sidang media itu juga diberitahu Proton Tuah atau Persona R atau nama kodnya Proton P3-21A akan menggunakan teknologi enjin Campro yang berkeupayaan turbo yang lebih jimat minyak dan mesra alam. Ini juga mengesahkan bahawa kereta Proton Tuah merupakan kereta global keluaran Proton yang pertama menggunakan enjin turbo.

Pada bulan Ogos 2011 kereta Proton Saga EV yang bermaksud kereta elektrik dipertontonkan dan diserahakan di beberapa Kementerian di Putrajaya demi mendapat maklum balas bagi pembuatan kereta elektrik masa hadapan. Pada waktu itu juga Azril juga terfikir apakah kereta masa depan Proton akan menggunakan teknologi hijau tersebut dan alangkah indahnya jika teknologi tersebut menjadi kenyataan dan Azril juga mengaharapkan kereta Proton yang berteknologi hijau tersebut akan dijual dengan harga yang mampu milik. Berita iini juga membuatkan Azril berteka teki adakah kereta Proton Tuah yang akan dilancarkan nati turut sama memiliki teknologi tersebut.

Pada bulan Oktober 2011 beberapa laman blog menyiarkan tentang lampu yang akan digunakan bagi Proton Tuah atau Proton P3-21A yang dimana lampu tersebut memang cantik dan dengan kehadiran lampu tersebut  beberapa ciri kereta sport telah dijelmakan didalam model ini yang akan menjadikannnya lebih anggun. Pada 05 November 2011 melalui sidang media Pengarah Urusan Proton telah memberitahu bahawa Proton Tuah atau nama yang  dikomersialkan sebagai Persona R dan bukanlah model gantian bagi Proton Persona dan kereta yang akan dilancarkan nanti merupakan model baru dan terpadamlah ura ura tentang nama Proton Tuah adalah Persona R. Nama kereta global proton tersebut adalah kod P3-21A dan dalam sidang media itu juga beliau memberitahu sekali lagi kereta Proton P3-21A akan menggunakan teknologi turbo.

Pada bulan November 2011, Proton telah melakukan perubahan kosmetik pada model Proton Inspira dan perubahan tersebut telah melonjakkan jualan kereta tersebut. Memang azril sendiri akui dengan perubahan ciri yang nampak lebih sport tersebut telah menyebabkan Proton Inspira semakin menarik dan kelihatan cantik. Ini juga membuktikan bahawa Proton mahir dalam menaiktaraf rekabentuk dan pada masa yang sama Azril masih lagi menunggu rekabentuk kereta Proton P3-21A yang akan dilancarkan nanti.

Akhirnya pertengahan bulan November 2011, beberapa laman blog tempatan telah menyiarkan gambar depan Proton P3-21A yang sungguh cantik dan membuatkan Azril tertanya tanya apakah model tersebut adalah model sebenar Proton P3-21A yang akan dilancarkan pada tahun 2012 nanti. Tiba tiba, pada 29 November 2011 satu kejutan dalam rancangan berita di Buletin Utama Tv3  dimana ia telah menyiarkan rekabentuk Proton P3-21A yang telah dikaburkan dan rekabentuk tersebut memang menarik dan membuatkan sesiapa saja teruja apabila memandangnya. Turut sama dipertontonkan didalam rancangan berita tersebut adalah Proton Exora Bold dan Proton Exora Prime kelas mewah yang menggunakan enjin turbo keluaran Proton. Jikalau ia adalah rekabentuk sebenar, maka meriahlah indusri automotif tempatan dengan kehadiran Proton P3-21A yang sungguh anggun.Ini juga membuatkan Azril tidak sabar sabar untuk memilikinya nanti.

Ramai orang berteka teki apakah nama enjin turbo keluaran Proton yang pertama dan pada bulan Disember 2011 beberapa laman blog telah menyiarkan gambar sebuah kereta Proton Exora berkuasa turbo yang sedang diangkut dengan menggunakan trak ke satu destinasi yang tidak diketahui. Pada badan kereta Proton Exora tersebut tertulis perkataan CFE yang membawa maksud Kecekapan Bahan Api Tercas (Charged Fuel Efficiency). Jika enjin Campro CFE akan digunakan nanti maka sahlah enjin yang sama juga akan digunakan nanti pada Proton P3-21A. Ini menambah keterujaan Azril bagi melihat sendiri bagaimana rekabentuk  Proton P3-21A dan prestasi enjinnya.

Pada 20 Disember 2011, Azril telah menerima satu khidmat pesanan ringkas dari kawan Azril yang beliau telah memandu uji kereta Proton Exora Bold yang menggunakan enjin Campro CFE. Beliau juga telah memberitahu bahawa enjin tersebut amatlah ringan dimana penukaran gear automatiknya amatlah lembut dan kawan Azril juga memberitahu Azril bahawa kadar pecutan enjin Campro CFE amatlah baik dan meter naik naik dengan pantas apabila pendikit minyak ditekan. Kawan Azril tersebut juga memberitahu Azril bahawa beliau telah menempah kereta kereta tersebut dan ingin mendapatkannya secepat yang mungkin. Pada pendapat Azril jika Proton Exora Bold yang menggunakan enjin Campro CFE pun boleh mempamerkan prestasi yang cukup membanggakan apatah lagi Proton P3-21A tentu prestasinya amatlah menakjubkan nanti walaupun ia dijana oleh enjin berkeupayaan 1.6.

Di saat Azril dan kawan kawan berteka teki tentang Proton P3-21A, tiba tiba pada 17 Januari 2012, kami mendengar berita yang DRB Hicom telah menang bidaan saham yang telah dijual oleh Khazanah berjumlah 43%. Ini  juga juga menimbulkan teka teki pada waktu tersebut dan yang berlegar di fikiran Azril pada waktu itu adalah kemana pula halatuju kereta Proton selepas ini dan apakah Pengarah Urusan Proton yang bertungkus lumus bersama pengarah yang lain, arkitek, jurutera, juruteknik dan perkerja Proton yang lain akan yang dimana daya usaha mereka menjelmakan kereta konsep Proton Tuah ke alam nyata dikekalkan atau ditukar. Dalam fikiran Azril juga ketika itu, apakah pelancaran Proton P3-21A akan ditangguhkan nanti atau dipercepatkan?

Pada awal bulan Februari 2012 pula terpampang di laman maya tentang rekabentuk Proton P3-21A yang berwarna putih yang sungguh menawan dan membuatkan Azril tertunggu tunggu bilakah tarikh muktamad pelancarannya nanti. Pada masa yang sama, Azril mendengar berita sedih iaitu pengeluaran Proton Gen 2 telah dihentikan dan selepas ini tiada lagi Proton Gen 2, yang ada hanyalah untuk penghabisan stok sahaja. Pada masa yang sama juga, Azril telah menerima satu pesanan khidmat ringkas dari kawan Azril yang menyatakan bahawa Proton P3-21A akan dilancarkan secara rasmi pada bulan Mac 2012 nanti dan yang menarik adalah kombinasi antara kecekapan prestasi dan kelajuan internet yang membuat Azril tertanya tanya, apakah ia?. Turut sama didedahkan di laman maya adalah spesifikasi Proton P3-21A yang membuatkan sesiapa saja akan tertarik pada kereta tersebut apabila ia dilancarkan nanti.

Cerita tentang Proton P3-21A tidak berhenti setakat itu sahaja dan pada penghujung Februari 2012 terpampang didada akbar yang kereta Proton P3-21A akan dijual dari harga RM 65000 hingga RM 75000 dan pelancaran nama Proton P3-21A akan disempurnakan pada pertengahan Mac dan pelancaran rasmi juga turut akan diadakan pada bulan Mac 2012 juga. Ini menamatkan memadamkan teka teki yang nama kereta tersebut adalah Proton P3-21A. Yang bermain di minda Azril ketika itu adalah, apakah nama Proton Tuah akan dikekalkan?, alangkah indahnya jika nama Proton Tuah menjadi kenyataan.

Dalam keadaan masih lagi menunggu pelancaran rasmi Proton P3-21A, pada 10 Mac 2012 Azril pun masuk ke laman sesawang rasmi Proton dan terpandang satu iklan pameran iaitu pameran kecemerlangan Proton yang dikenali sebagai "Proton Power Of 1". Semasa meneliti iklan tersebut, Azril tertanya tanya apakah Proton P3-21A akan dilancarkan pada tarikh tersebut atau pelancaran nama barunya sahaja ataupun sekadar pameran kecemerlangan proton bagi edisi kereta yang terdahulu?

Pada 15 Mac 2012, melalui khidmat pesanan ringkas, Azril pun melayari laman video "Youtube" dan Azril pun melihat video promosi Proton P3-21A yang Azril berasa cukup bangga dengan keupayaan Proton ditunjukkan dalam video tersebut dan berita gembira tersebut turut sama dikongsi dengan isteri Azril yang juga melihat video yang sama. Yang membuatkan Azril tertarik adalah kata kata akhir di video tersebut iaitu "pandu untuk mempercayainya"

Pada 17 Mac 2012 disebabkan keterujaan yang teramat sangat, maka berangkatlah Azril dan isteri tercinta ke Stadium Bukit Jalil bagi menyaksikaan pameran kecemerlangan Proton yang dikenali sebagai "Proton Power Of 1". Memang menarik ketika kami disana, ini adalah kerana disana dipamerkan tentang pembuatan enjin Campro CFE dan kereta elektrik masa hadapan Proton. Turut sama dipamerkan adalah Proton Satria Neo S2000, kereta Lotus, pelbagai jenis kereta Proton dan yang paling mencuri perhatian adalah Proton P3-21A yang diletakkan di dalam kotak rahsia. Dengan menggunakan kamera, Azril berjaya merakam gambar hadapan kereta tersebut, walaupun hanya nampak lampu tetapi Azril cukup berpuashati dengan rekabentuk kereta tersebut. Setelah kami keluar dari galeri kereta kami pun pergi menonton pertandingan ketangkasan kereta Proton disana. Dalam perjalanan pulang Azril dan Puan Azlina ke Kuantan, topik yang paling hangat dibincangkan adalah tentang rekabentuk Proton P3-21A dan prestasi enjin Campro CFE yang sebelum ini dimuatkan didalam kereta Proton Exora Bold.

Pada 4 April 2012 didalam Utusan Malaysia, Azril terbaca yang kereta konsep Proton Tuah atau Proton P3-21A akan dikenali sebagai Proton Preve dan ia akan dilancarkan secara rasmi oleh YAB Perdana Menteri pada 16 April 2012 nanti. Maka dengan berita tersebut, tamatlah teka teki tentang pelancaran Proton Preve.

Tanggal 16 April 2012 merupakan salah satu dari tarikh yang cukup bermakna bagi Proton dan peminat kereta Proton dimana di tarikh tersebut jugalah Proton Preve atau dikenali dengan dengan nama Proton Tuah sebelum ini telah dilancarkan secara rasmi oleh YAB Perdana Menteri Malaysia dan tarikh tersebut juga bermulanya transformasi kereta Proton ke tahap lebih tinggi setelah menerajui industri automotif tempatan selama 26 tahun. Dengan kehadiran Proton Preve membuktikan keupayaan Proton dalam menghasilkan kereta bertaraf dunia, kemunculan Preve juga membawa kenderaan proton ke tahap lebih tinggi dalam aspek keselamatan, prestasi, keselesaan, kualiti pembinaan, teknologi dan reka bentuk keseluruhan.

Sejak dari hari pelancaran kereta global pertama Proton tersebut dimana mana sahaja Azril mendengar cerita tentang kehebatan Proton Preve sehinggalah ada seorang kawan Azril menjual kereta impotnya yang dibeli dengan harga ratusan ribu demi mendapatkan Proton Preve setelah memandu uji kereta tersebut. Pada waktu itu jugalah Azril hanya menelan air liur sahaja melihat beberapa orang kawan Azril menempah Proton Preve, dan Azril hanya melihat video pandu uji sahaja dilaman sosial sehinggalah pada.........

Pada jam 9.00 malam 18 April 2012 telefon pun berdering setelah bertanya khabar antara satu sama lain dan bersembang bagi melepaskan kerinduan dan dialog mengenai Proton Preve pun bermula

Azril   : Sayang, hari Sabtu ni masa abang balik Kuantan nanti apa kata kita pi bilik pameran Proton ka Eon ka, kita pi pandu uji kereta Proton Tuah nak tak?

Azlina : Wow, ok jugak tu mungkin kereta tu dah sampai dah kat Kuantan nanti. Sebenarnya memang ayang nak ajak abang nanti, sebab nak tengok sendiri kereta tu. Tentu cantik kan abang?

Azril   : Memang cantik kereta tu, kat Seberang Perai pun dah banyak bilik pameran dah pamer kereta tu, tapi apa yang penting abang nak pi dengan sayang. Hari Sabtu ni kita pi tau.

Azlina : Ayang pulak jadi tak sabar sabar nak pergi tengok kereta tu. Kawan kawan abang dah pergi pandu uji ke? Apa diaorang kata?

Azril   : Kebanyakkan depa dah pi pandu uji dah, ramai jugak yang dah tempah cuma stok depa tak sampai lagi. Kebanyakkan komen depa positif ada yang negatif, biasalah yang negatif tu bagi depa apa yang Proton buat semua tak betoi, depa saja yang betoi. Bagi depa kereta penjajah depa lah paling baguih, depa dengki sebab dengki sebab Proton dah buat kereta lagi baguih dari model kereta penjajah yang depa dok kagom sangat tu.

Azlina : Macam macam kan kerenah manusia kan abang

Azril   : Bukan tu saja. Depa jadi tebakaq bila depa dapat tau Proton Tuah tu dah atasi kereta pujaan depa tapi harga Proton Tuah masih lagi murah berbanding kereta yang depa dok kagom sangat tu.

Azlina : Hahahaha........... abang jangan mengumpat nanti hari Sabtu kita pi tengok tau

Azril   : Hahaha.....

Pada hari Jumaat 20 April 2012, sedang Azril bersiap untuk pergi sembahyang Jumaat, tiba tiba telefon pun berdering. Setelah bertanya khabar antara satu sama lain, dialog mengenai Proton Preve pun bermula lagi

Azlina : Abang, ayang ingat nak pergi tengok kereta Proton Tuah tu dengan kawan kawan kejap

Azril   : Ok tak pa, pi lah, hati hati tau

Azlina : Ayang bukan apa, ayang dah tak sabar sabar nak tengok kereta tu

Azril   : Tak pa, pi tengok dulu, nanti cerita kat abang tau

Azlina : Harap harap tak mahal kan abang. Boleh kita beli, hahaha

Azril   : Tu lah, abang pun harap macam tu

3 jam kemudian telefon sekali lagi berdering dan dialog pun bermula dengan keadaan yang ceria

Azlina : Abang tahu tak, rupanya ada tiga jenis Proton Tuah Preve

Azril   : Tu lah, abang pun tengok tadi dalam web dan kawan kawan pun bagi katalog tadi

Azlina : Kalau kita kita nak pilih yang mana?

Azril   : Abang pun tak tau lagi, tapi kalau lepaih kita pandu uji baru kita tau yang mana satu, tapi abang harap kita ambik yang Premium sebab kalau enjin CamPro kita dah dah pakai dah. Enjin Campro memang hebat dan sapa pun tak boleh nafikan benda ni. Cuma sekarang ni, apa kata kita pakai enjin CFE pulak sebab kita tak pernah pakai enjin tu sebelum ni.

Azlina : Apa maksud CFE tu bang, kalau dalam bahasa Inngeris dia sebut sebagai "Charged Fuel Efficiency"

Azril   : Kalau dalam bahasa Melayu dia panggil Kecekapan Bahan Api Tercas, apa pun nanti hari Sabtu nanti kita pi pandu uji tau.

Pada hari Sabtu 21 April 2012, setelah Azril sampai di Kuantan kami pun pergi ke bilik Pameran Proton Edar yang terletak di Indera Mahkota, Kuantan. Sampainya Azril dan isteri tercinta disana kami terus memandu ujii kereta Proton Preve tersebut. Akhirnya kami pun menepah kereta tersebut dan pada 11 Jun 2012 kami berjaya memiliki kereta tersebut..........

Bersambung................................


Kami bergambar dengan Proton Tuah yang sunggguh cantik ketika di Pameran Motor Antarabangsa Kula Lumpur  pada 10 Disember 2010
.

Puan Azlina ketika di hadapan Proton Tuah
.
Gambar lampu yang sempat kami rakamkan ketika di Pameran Proton Power of One di Stadium Bukit Jalil

Pandu uji buat pertama kali di Proton Edar Kuantan
.
Sentuhan pertama setelah setelah berjaya memiliki Proton Tuah atau Proton Preve pada 11 Jun 2012
.
'
Puan Azlina dihadapan kereta kesayangannya di kuarters Bukit Mertajam pada 03 Syawal yang lalu.