Wednesday, December 02, 2009

Robot peneraju masa depan perubatan

Robot peneraju masa depan perubatan
Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah@utusan.com.my

PADA zaman teknologi ini manusia semakin obses mencipta kemudahan berasaskan robot untuk membantu manusia melaksanakan pelbagai tugasan.

Robot kini bukan sahaja digunakan secara meluas dalam sektor perindustrian,

perkilangan, mengendalikan kerja berat atau bidang ketenteraan. Tidak ketinggalan, bidang perubatan turut melakukan pembedahan robotik.

Webster's New World Dictionary 1969 mendefinisikan robotik sebagai sains dan teknologi robot, termasuk reka bentuk, pengeluaran, aplikasi dan kegunaan lain.

Di Eropah, robotik didefinisikan sebagai "Sains Robotologi" dan Robotologi didefinisikan sebagai cara bagaimana mesin robot digabungkan dan melakukan kerja. Kebanyakan orang menganggap robotik sebagai satu bahagian teknologi tetapi robotik meliputi pelbagai bidang teknologi seperti mekanikal, elektrik, elektronik, sistem, perkakasan dan perisian komputer serta pelbagai teknologi canggih yang lain.

Ciptaan robot semakin canggih bersesuaian dengan kegunaan untuk menjalankan tugas manusia dalam dunia perubatan yang bermula sejak 1985 lagi.

Pada awalnya, teknologi robot untuk membantu bidang perubatan dikenali sebagai PUMA 560 yang digunakan untuk meletakkan jarum pada biopsi otak.

Kemudian pembedahan robotik semakin dikenali ramai dan pada 1988 PROBOT pula digunakan untuk pembedahan prostat di England.

Penggunaan robotik untuk membantu doktor menjalankan pembedahan semakin popular apabila Integrated Surgical System memperkenalkan ROBODOC pada tahun 1992 dicipta untuk pembedahan penggantian pinggul.

Pada tahun 1999, robot bedah iaitu Sistem Pembedahan Da Vinci selepas diluluskan Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat (FDA).

Kemudian, pada tahun 2000 pembedahan robotik ini diguna dalam prosedur pembedahan dada (thoracoscopic), sesetengah prosedur ginekologi dan jantung, urologi.

Empat tahun kemudian, Hospital Kuala Lumpur (HKL) menggunakan pembedahan robotik untuk pembedahan rawatan masalah kesihatan urologi.

Ia menjadi perintis kemajuan teknologi perubatan tempatan.

Pada bulan Mei tahun lalu, sekumpulan doktor di sebuah hospital di Kanada berjaya menjalankan pembedahan pertama di dunia menggunakan robot bagi membuang ketumbuhan otak seorang pesakit wanita di negara itu.

Pembedahan bersejarah itu dilakukan pakar bedah Pusat Perubatan Foothills di Calgary menggunakan sistem robot yang baru direka, dikenali NeuroArm untuk mengeluarkan ketumbuhan sebesar telur ayam dari otak Paige Nickason, 21.

Dalam pembedahan tersebut, robot yang mempunyai dua lengan itu menggunakan peralatan pembedahan sebagai tangannya dan dipantau pakar bedah menggunakan sistem kawalan jauh serta skrin pengimbas.

Sistem pembedahan robotik menggunakan beberapa alatan iaitu sebuah konsul komputer pengantara yang mempunyai alat pemegang untuk pakar bedah, tayangan video berkualiti tinggi, rangkaian berwayar yang menterjemahkan segala pergerakan pakar bedah dan sistem tangan robotik.

Bagi melakukan pembedahan, pakar bedah juga berada di bilik bedah dan duduk di bahagian khas mesin yang terletak tidak jauh daripada pesakit.

Seperti pembedahan yang dilakukan pakar pakar, tangan-tangan robot akan dimasukkan ke dalam perut pesakit melalui selitan kecil yang dibuat terlebih dahulu atau melalui tali pusat pesakit.

Dengan adanya teknologi ini, tugas pakar bedah menjadi lebih mudah dengan hanya memantau atau menyelaraskan kedudukan tangan-tangan robot tersebut.

Namun, pakar bedah masih menggunakan khidmat pembantu iaitu doktor bedah.

Sistem ini lebih tepat kerana tangan-tangan robot dapat berfungsi dengan tepat apabila menggerakkan serta memasukkan peralatan endoskopi.

Pakar atau doktor bedah juga dapat menumpukan perhatian dengan jelas serta tepat kawasan pembedahan dengan adanya kombinasi kecekapan teknologi komputer dan kepakaran perubatan manusia.

Ini jelas apabila pembedahan robotik lebih cermat dalam mengawal pergerakan mikro sewaktu pembedahan dijalankan ke atas pesakit.

Faktor ini disebabkan penterjemahan yang jelas tentang segala pergerakan semula jadi tangan pakar bedah yang menjalankan pembedahan.

Oleh itu, mereka dapat membuat kawalan pergerakan dengan lebih teliti dan berhati-hati melalui paparan skrin komputer.

Ternyata, pembedahan robotik merupakan sistem perubatan yang lebih tepat dan stabil.

Ini kerana tangan besi robot dapat melakukan pembedahan jauh lebih stabil daripada tangan manusia.

Berbeza daripada pembedahan biasa, pakar bedah tidak perlu berdiri dalam keadaan tekanan dan penat untuk melakukan pembedahan. Kini, pakar bedah hanya perlu duduk di hadapan skrin untuk membedah pesakit.

Selain itu, suasana kritikal bilik pembedahan yang perlu menggunakan banyak alatan bedah lebih terkawal. Dengan adanya pembedahan robotik, kawasan bilik bedah lebih selesa tanpa ketegangan.

Tidak ketinggalan, sistem komputer robotik ini juga dapat mengesan dan menapis jika terdapatnya tangan doktor yang menggeletar ketika melakukan pembedahan.

Sistem Pembedahan Da Vinci

Sistem pembedahan Da Vinci ialah robot pembedahan laparoskopik intuitive iaitu bergerak ikut kata hati.

Ia merupakan gabungan teknologi robotik terkini iaitu teknologi komputer dan kepakaran pakar perubatan.

Sistem ini terdiri daripada tiga komponen, konsul komputer dengan skrin tiga dimensi, bed site chart dan penganalisis imej.

Robot bedah memiliki tiga tangan panjang yang masuk ke dalam tubuh pesakit melalui port yang ditanam pada lubang kecil (key hole) pada abdomen pesakit.

Tangan robot utama iaitu central arm dikawal ketua pakar bedah menerusi konsul komputer. Tangan robot (arms) pula dikawal dua pembantu iaitu doktor bedah.

Teknologi ini berfungsi membawa masuk peralatan seperti gunting, forsep, pemotong kuasa elektrik (colgation), menyambung dan memutuskan organ (switchering) dan memegang organ ketika menjahit (graspers).

Dua tangan robot yang bertanggungjawab mengendalikan pembedahan yang mempunyai forsep dan hook yang membawa kuasa elektrik.

Kuasa elektrik ini bertanggungjawab membakar salur darah yang dipotong bagi mengelak pengaliran darah di situ.

Semua peralatan berukuran empat ke lima milimeter.

Kamera yang ada pada konsul komputer berkemampuan menggandakan imej hingga 10 kali saiz asal dan difokuskan (zoom) untuk imej yang jelas.

Master control video di konsul komputer menggerakkan tangan robot di dalam badan ketika pembedahan.

Komponen ketiga adalah penganalisis imej - perantara di antara konsul yang dikendalikan doktor dan imej yang dikendalikan robot untuk menghasilkan visual pada konsul dalam bentuk 3D.

Menerusi pembedahan robot, jahitan rumit dan halus sukar dilakukanmelalui pembedahan biasa atau open surgery dapat dilakukandengan sempurna.

Pakar juga boleh melihat dengan lebih jelas malah imej juga boleh dibesarkan ketika memotong dan menjahit organ yang rumit dan kecil.

Tujuan teknologi ini ialah memendekkan tempoh pesakit untuk sembuh dan menjimatkan masa pembedahan kepada separuh. Di samping itu, pembedahan robotik dapat mengurangkan masalah pendarahan dan tidak membabitkan pemindahan darah.

Pesakit boleh keluar dari wad dalam tempoh 24 jam dan tiub kateter dibuang dalam tempoh lima hari. Ia dapat mengurangkan kesan sakit akibat pembedahan.

Dalam kes tertentu, pesakit hanya perlu tinggal di wad selama 10 hari hingga jahitan dibuka manakala tiub kateter dibuang selepas dua minggu jika pembedahan konvensional.

Ada pesakit yang boleh berjalan empat jam selepas pembedahan berbanding tiga ke empat hari selepas pembedahan konvensional. Ia membolehkan pesakit kembali melakukan aktiviti normal dengan segera.

Pembedahan robotik Cyberknife

Cyberknife merupakan robot pembedahan berkomputer dengan ketinggian lebih kurang 12 kaki.

Ia seperti hidup dan menghasilkan gerakan-gerakan perlahan ala tai chi yang cukup mengasyikkan semasa prosedur rawatan.

Cyberknife menggunakan sistem pemanduan imej yang mirip kepada sistem yang digunakan di dalam teknologi peluru berpandu yang dilengkapi teknologi berkomputer di samping kamera imej sinar X.

Cyberknife menggunakan pancaran berganda radiasi yang bertenaga tinggi, bersumber daripada tangan robotik yang anjal ke ketumbuhan atau lesi yang telah disasarkan atau ditempatkan (seperti sistem pemanduan peluru berpandu) di dalam badan pesakit.

Ia juga meminimumkan pendedahan radiasi terhadap tisu-tisu normal yang sihat di sekeliling tumor yang dirawat.

Terapi radiosurgeri konvensional biasanya turut menjejaskan sebahagian besar tisu-tisu sihat yang tidak memerlukan radiasi.

Cyberknife boleh disasarkan kepada tumor yang kecil atau mempunyai bentuk yang kompleks berdekatan struktur kritikal seperti saraf penglihatan dan pendengaran tanpa meninggalkan kesan terhadapnya


''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''''
Sebenarnya saya cukup tertarik dengan rencana ini.

2 comments:

~ini an~ said...

salam...
x tahu pun blog ni wujud hehe
thanks for the kata2 semangat...

azril said...

Ya, hahaha........
Blog ini dah wujud sejak 2006 lagi......=)
Terima Kasih kerana berkunjung ke sini........