SELALUNYA lelaki akan cepat membuat kesimpulan jika ada kenderaan yang dipandu tidak konsisten, perlahan dan suka membrek, pastinya pemandunya adalah perempuan.
Bukan memperlekeh keupayaan wanita apabila berada di atas jalan raya, tapi itulah realitinya apabila kaum Hawa ini diberi kuasa mengawal kenderaan. Lihatlah kenderaan yang calar balar di sana sini tentunya dipandu perempuan.
Dari kaca mata lelaki, perempuan memang kurang cekap memandu. Mereka tidak berani mengambil risiko memandu dalam kelajuan yang konsisten, mengambil selekoh tajam atau memotong dua tiga kenderaan sekaligus.
Pemanduan mereka terlalu berhati-hati sehingga selalu teragak-agak dalam membuat keputusan termasuk membrek sebelum waktunya yang hanya membuatkan pemandu kenderaan di belakang naik angin. Kebanyakan orang akan mengelak mengekori kenderaan yang dipandu oleh wanita.
Contoh lain perbezaan cara pemanduan wanita dan lelaki ialah dalam bab menggerakkan pembersih cermin. Wanita biasanya akan terus menggerakkan pembersih cermin apabila hujan turun. Lelaki pula melakukannya hanya apabila air hujan terlihat sudah banyak.
Dengan kata lain, otak lelaki akan menunggu seketika sehingga sejumlah air hujan membasahi cermin berbanding wanita yang suka memberi respons terlalu awal.
Begitu juga dalam hal meletak kenderaan. Perempuan selalunya tidak suka meletakkan kenderaan selari atau secara masuk dari belakang. Mereka akan mencari parkir yang lebih mudah iaitu dari sisi.
Berjam-jamlah masa dibazirkan hanya untuk meletakkan kenderaan dengan betul. Dan jika ada pilihan, mereka lebih suka mencari ruang yang luas walaupun ia terletak jauh. Tak mengapalah kalau terpaksa jauh menapak.
Ini dibuktikan dalam satu kajian di Singapura yang mendapati 66 peratus lelaki dapat meletak kenderaan (secara masuk dari belakang) dengan tepat dan 68 peratus melakukannya dalam percubaan pertama. Berbanding wanita, hanya 19 peratus dapat melakukannya dengan tepat dan 12 peratus mampu melakukannya dalam percubaan pertama.
Tabiat
Mungkin sebab itu, lelaki akan cepat berbangga jika ada wanita yang tidak mempunyai tabiat pemanduan yang sebegitu. Reaksinya selalu ‘eh perempuanlah’ tanda bangga ada wanita mampu memandu setaraf orang lelaki.
Sebab itu juga orang selalu menasihatkan jangan sekali-kali mengajar isteri atau teman wanita memandu. Ia umpama memandu ke mahkamah perceraian!
Lazimnya, secara automatik lelaki akan bertukar menjadi pembebel dengan kecenderungan memberi arahan macam wanita itu tiada deria rasa. Tekan brek, beri signal, hati-hati kereta di depan, ada orang melintas dan bermacam lagi arahan yang akhirnya akan menyebabkan pertengkaran.
Kalau mahu belajar memandu, belajarnya daripada mereka yang pakar di kelas memandu. Jangan dengan suami atau kekasih. Parah jadinya.
Begitu juga apabila pulang ke kampung menyambut Aidilfitri ini. Bagi memastikan Aidilfitri yang mulia ini disambut dengan penuh keriangan dan kebahagiaan, elakkan isteri daripada memandu. Jangan ambil risiko. Elok-elok bergembira menyambut hari kemenangan ini di kampung halaman, kita suami isteri bermasam muka pula.
Kepada wanita, walaupun mereka selalu berfikir tujuan memandu ialah tiba dengan selamat ke destinasi tetapi elakkan terlalu kerap mengkritik pemanduan lelaki. Ini kerana dalam bab memandu, lelaki dibuktikan lebih baik berbanding wanita.
Wanita perlu bertenang walaupun dia berfikir cara pemanduan lelaki agak berbahaya. Asalkan lelaki itu tidak mempunyai rekod memandu yang buruk, berilah kebebasan kepada mereka untuk menjalankan peranannya. Biar saja dia memandu.
Pemanduan yang baik ini sebenarnya bergantung kepada kemampuan spatial (membaca ruang) yang berkaitan dengan persekitaran. Mungkin sudah ditakdirkan dalam hal spatial ini, otak lelaki berfungsi lebih baik. Ia menjadikan lelaki lebih cekap memandu, lelaki lebih cekap meletak kenderaan dan begitu juga lelaki lebih cakap membaca peta dan arah jalan.
Sebab itu jika terdesak mahu isteri memandu, strategi terbaik sebagai penumpang ialah menutup mata dan berhenti membuat komen. Biarkan isteri bebas dengan dunia pemanduan yang lazim dilakukannya.
Begitupun berita baiknya, walaupun tabiat pemanduan wanita dikategorikan teruk tetapi mereka cenderung memandu dengan lebih cermat.
Mereka pasti akan tiba ke destinasi dengan selamat walaupun mungkin mengambil masa lebih lama. Tak apalah sekurang-kurangnya suami dapat berehat supaya tenaganya nanti boleh digunakan untuk membakar lemang dan memasak ketupat
No comments:
Post a Comment