Tuesday, June 01, 2010

Ulangtahun Perkahwinan Yang Kedua

Ulang Tahun Perkahwinan Kami Yang Kedua - Azril dan Azlina

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمـنِ الرَّحِيْمِ
.
Pada tanggal 17 Mei yang lepas kami menyambut ulang tahun perkahwinan kami kedua. Syukur ke hadrat Allah Tuhan Pencipta langit dan bumi dengan rahmat dan kasih sayangNya kami dapat hidup aman dan tenteram sehingga kini.
.
Memang tak sangka kami dah dua tahun berkahwin dan masa berlalu begitu pantas ditambah pula kami yang hidup berjauhan ini terasa seperti baru semalam kami akad nikah. Syukur ke hadrat Allah kerana kami berjaya menempuh ujian dan dugaan yang datang.
.
Buat isteri tercinta "Sayang, abang cintakan sayang seluruh jiwa abang , sayang tahu tak, sayanglah segalanya bagi abang. Sayang tahu tak, ketika berada dengan sayang abang rasakan jiwa abang penuh dengan cahaya cinta yang sayang curahkan. Sayang tahu tak abang tak pernah lupakan sayang walau dimana abang berada. Sayang tahu tak cinta abang pada sayang adalah ibarat ombak yang memukul pantai tanpa jemu. Cinta abang pada sayang adalah diibaratkan matahari yang memancarkan sinaran cahayanya tanpa bosan dan penat walau datang pelbagai ujian dan dugaan dan tak pernah lupakan sayang walau sedikit pun, sayang I love you"
.
Lokasi pemotongan kek adalah di rumah baru kami di Taman Seri Mahkota Aman.


Kek Ulangtahun Perkahwinan kami yang kedua
.

Isteri tercinta senyum sambil memotong kek
.
Giliran si budak hitam memotong kek
.
Si putih dan si hitam memotong kek
.
Aku memeluk insan yang cukup aku cintai sambil kami memotong kek
.
Kek dipotong berlatarbelakangkan sofa dan langsir dirumah kami
.

Habis sepinggan dan 4-5 pinggan pun boleh hahahaha

Kenangan Pulau Perhentian

Kenangan Pulau Perhentian

Sambil meneliti gambar gambar kenangan yang membuatkan aku tersenyum antara kenangan aku dan isteri tercinta yang tidak dapat aku lupakan sepanjang hayat adalah ketika kami berbulan madu di Pulau Perhentian. Kini 2 tahun telah berlalu. Aku rakam 3 video dengan menggunakan kamera aku dan sekarang aku muatkan di blog ini.

Memang seronok sangat bila aku disana tetapi yang membuatkan aku kurang seronok adalah kerana masa 3hari 2malam terlalu pendek sangat. Kalau boleh aku nak berada disana seminggu ke sebulan ke, setahun ke.......(tak payah kerja lah woi).

Aku sebenarnya teringin sangat untuk ke sana buat kali kedua tapi ada sesuatu yang menghalang iatu kawan aku Encik Duit. Hahahahaha.


Kejernihan air yang dapat dilihat walaupun waktu malam, ikan yang dirakamkan sepanjang satu kaki. Kedalaman air boleh dianggarkan sedalam 10 meter.
.

Aku pun tak tau benda apa ni, nampak macam batu karang tapi bentuk bulat tapi yang pasti benda tu besar sangat.
.

Ketika ini kami berada di atas pelantar sementara menunggu bot sampai, ketika itu aku sempat merakam video dengan kamera. Kejernihan air menghijau membuatkan aku sukar untuk mengucapkan selamat tinggal pada Pulau Perhentian. Apa pun aku terpaksa balik....

Wednesday, May 26, 2010

Ais Krim

Ais Krim

Aiskrim memang sedap, sapa yang kata aiskrim tu tak sedap mungkin dia ada masalah dengan lidah dan deria rasa dia tak berfungsi dengan betul.

Aku memang suka makan ais krim sejak kecik lagi. Masa zaman budak budak dulu aku rajin beli aiskrim dulu harga ais krim 5 duit ja, yang paling mahal adalah sekupang. Masa tu aku beli aiskrim tangkai saja, aku tak beli dalam kotak sebab mahal, masa tu kan waktu sekolah mana mampu. Masa sekolah dulu aku teringin sangat nak makan ais krim yang berjenama hebat tapi apakan daya harganya memang mahal sangat.

Sekarang ni zaman aku dah kerja bolehlah aku makan berkotak kotak aiskrim tapi kena pilih jugak sebab ada juga aiskrim yang tidak bertanda halal terutamanya yang berjenama antarabangsa.

Aku tak kisah orang nak kata apa sebab aku cerita tentang aiskrim ni janji sedap.

Paeti sejuk yang penuh dengan aiskrim.
.

Antara aiskrim yang sedap yang aku pernah makan.
.

Aiskrim ni pun sedap jugak.
.

Apa yang penting tanda Halal perlu ada..
.

Aku Nak Cakap Sikit

Aku Nak Cakap Sikit

Aku bukannya baik sangat, aku manusia biasa yang setiap hari melakukan dosa. Aku tau, tapi yang aku bengang sangat ni kadang kadang dengan orang sekeliling aku. Aku kadang kadang terlalu berlembut dengan depa, apa depa nak aku cuba tolong sedaya upaya aku.

Tapi……….. Kadang kadang bila aku dah ikut rentak depa, depa pulak yang jadi terlalu mengada-ngada sangat. Malaslah aku nak maki dalam blog, bukan aku nak tuinjuk baik tapi tak eloklah nak maki dalam blog ni. Lebih baik aku maki depan depan lagi bagus.

Aku boleh menari terduduk terlentang ikut rentak depa, tapi bila aku bila nak mintak tolong sikit sampai aku buat muka baru nak tolong lepas tolong pulak mulut depa macam mulut ala ala lahar gunung berapi lagi.

Aku bukan baik tapi aku cuba nak jadi yang terbaik. Jujur aku cakap aku dah benci berlagak skema nak jaga hati semua orang dan aku dah meluat sangat dengan perangai aku yang seolah olah boleh jaga hati semua orang.

Kalau aku boleh jaga hati hangpa semua apasal hangpa tak boleh nak jaga hati aku. Kenapa aku ni seoarang yang susah sangat nak paham ka…………… atau rumit sangat.

Aku pun tak tau nak kata apa………..

Tumpang aku boleh tahan lagi aku tahan……………

Kalau tak tahan aku cakap ja………………

Sekarang ni aku nak jaga hati aku saja…………….

Lantaklah………………….

Friday, May 21, 2010

Tunggu Ana di Karbala

Tunggu Ana di Karbala
Karya : Faisal Tehrani
Sumber : Utusan Malaysia Online dan blog Faisal Tehrani
Tarikh disiarkan : 03/01/2010

MATA hijau Munir berkaca-kaca. Semangkuk bubur oat yang disediakannya sudah saya hirup habis. Husin, adiknya duduk di sisi tersenyum-senyum penuh rahsia bagaikan menyembunyi sesuatu. Saya membetulkan kot dan mengemaskan serban membalut tengkuk. Kelmarin hujan membasahi Karbala dan suhu jatuh mendadak. Kemudian Munir memberanikan diri bertanya, "Akhi, adakah enta seorang Syiah?"

Giliran mata saya berkaca-kaca. Saya ingin menjawab seperti mana jawapan yang diberi oleh ulama terkenal Indonesia, Hamka. Arwah pernah ke Karbala dua kali. Pada tahun 1950 dan tahun 1968. Almarhum pernah diajukan soalan yang sama. Jawapan Hamka seperti yang beliau nukilkan pada prakata buku terjemahan Al Husain Bin Ali karya asal alHamid alHusaini ialah; "Saya tidak bermazhab Syiah, tetapi saya mencintai Husain!" Tetapi kata-kata awal Hamka itu saya telan kerana saya rasa tiada maknanya buat mereka berdua. Hanya yang saya luahkan ialah, "Saya pencinta Husin. Seperti kamu berdua. Bukankah Rasulullah SAW bersabda: "Kedua anak ini adalah anakku dan anak dari puteriku. Ya Allah, sesungguhnya aku mencintai kedua-duanya, maka cintailah kedua-duanya dan cintailah orang yang mencintai kedua-duanya." Saya ingin mendapat cinta Allah, maka saya mencintai Hasan dan Husin."

Husin, adik Munir, merekahkan senyuman di bibir sebelum ketawa halus. Seakan-akan saya memberitahu yang saya mencintainya. Duhai, tidakkah indah seorang Sunni dan seorang Syiah bersatu mencintai cucunda Rasulullah?

Begitulah perkenalan singkat saya dengan Munir dan Husin. Mereka berdua datang ke Karbala dari Kazimiyyah, Baghdad untuk menjadi sukarelawan melayan penziarah makam Saidina Husin.

"Dua minggu," ujar Munir membuat isyarat jari.

"Kami akan membersihkan sampah sarap dan memberi tetamu Imam Husin makan. Kami tiada duit yang banyak. Tetapi apa yang ada akan kami berikan untuk Husin." Celah Husin lebih bersemangat.

Entah kerana ada angin dingin yang menyerbu muka saya membuatkan rasa keharuan menggigit atau sememangnya saya sedia menahan sebak pilu setiap kali menghadap ke jihat makam Saidina Husin dan Abal Fadz.

Di jalanan sudah ada perarakan duka sejak subuh. Makam Imam Husin, kubah emas dengan bendera merah berkibar lesu tampak berbalam-balam diserkupi dingin musim sejuk. Saya sebetulnya sedikit resah. Komputer riba saya dirampas oleh askar Amerika sebaik masuk ke sempadan Iraq. Saya bernasib baik mendapat kamar untuk disewa. Kamera Nikon kesayangan saya harus ditinggalkan di kamar tumpangan demi tujuan keselamatan. Khabarnya pernah beberapa kali letupan berlaku di Karbala dengan bom kecil disembunyikan pada kamera, telefon bimbit dan komputer. Jadi, saya rasa gelisah kerana tidak dapat merakami apa yang patut saya lakukan sebagai seorang musafir.

Sejak saya belum berjaya meloloskan diri perbatasan dan mengunjungi Karbala, saya sudah bertanyakan kepada pengawal sempadan di Kermanshah, dia kelihatan seperti orang yang tahu. Pengawal itu yang bernama Redza menyatakan, "Saudara orang Sunni? Saudara merujuk Sunan Tirmidzi?"

Saya tidak menjawab. Sunni atau Syiah tidaklah terlalu penting jika hati kita bersama Allah, Rasul dan ahli keluarganya sepertimana yang kita ucapkan tatkala berselawat dalam solat. Pengawal itu menyambung, seraya mencapai kitab Imam Tirmidzi yang dicapai dari rak bukunya yang kelihatan padat. "Dalam Sahih Tirmidzi hadis bernombor 3860: Abu Said al-Asyajj menceritakan kepada kami, Abu Khalid al-Ahmar memberitahukan kepada kami, Razin memberitahukan kepada kami, dia berkata Salam menceritakan kepada kami, dia berkata: Aku masuk menghadap Ummu Salamah sedangkan dia tengah menangis lalu aku berkata: Apa yang membuat kamu menangis? Dia berkata: Aku bermimpi melihat Rasulullah SAW, sedangkan di atas kepala dan janggut beliau terdapat debu. Lalu aku bertanya: Apa yang terjadi pada engkau Wahai Rasulullah. Beliau bersabda: "Aku baru saja menyaksikan pembunuhan Al-Husin." Orang bertanya kami, mengapa syiah menangis? Saya ingin bertanya, mengapa sunni tidak menangis? Mengapa pula tidak boleh menangis?"

Saya rasa mengerdil kerana tergagap di hadapan seorang pengawal sempadan berpangkat rendah.

Redza menerangkan lagi, "Isteri Rasullullah SAW, Ummu Salamah sendiri menangis mengenangkan pembunuhan Imam Husin, mengapa tidak kita? Nabi tidak pula melarang isterinya. Bahkan Nabi Muhammad menjelma di hadapan Ummu Salamah dalam keadaan kesedihan sehingga berlumuran debu. Nabi Yaakub a.s menangisi kehilangan Nabi Yusuf sampai matanya buta, Allah pun tidak melarang. Mengapa ada orang bertanya mengapa kami menangis mengenang tragedi penyembelihan dan pembunuhan cucu Nabi Muhammad saw. Tidakkah itu aneh?"

Malu

Buat seketika, saya jadi malu sendiri. Saya belajar ilmu syariah di peringkat ijazah tetapi saya tidak pernah menerokai sedalam ini. Hari ini, setelah meninggalkan bidang syariah secara akademik dan menceburi bidang kesusasteraan bandingan saya kembali berazam untuk menekuni setiap lapis yang ada. Saya kini jelas akan sebuah hadis yang berbunyi: Mahmud bin Ghailan menceritakan kepada kami, Abu Daud al Hafari menceritakan kepada kami dari Sufyan dari Yazid bin Abu Ziyad, dari Ibnu Abi Nu'am, dari Abu Sa'id al Khudri radiallahuanhu, ia berkata: Rasulullah saw bersabda, "Hasan dan Husin adalah pemimpin pemuda penghuni syurga." Dalam benak saya bergumul satu pertanyaan, adakah orang tua di syurga? Jika saya cintakan Husin seperti yang dituntut Rasulullah SAW apa buktinya? Kematiannya yang tragis dan ngeri itu pun saya tidak tahu dengan terperinci dan benar, bagaimana saya boleh mengaku mencintainya dan ada hati pula untuk menjadi penghuni syurga? Bukankah jika kita tidak mengenal maka kita tidak mencinta. Soalnya jika saya kenal, kenalkah saya sungguh-sungguh mengapa Saidina Husin, penghulu di syurga itu sampai syahid dibunuh dan apa pula falsafah di sebalik pengorbanan besar baginda itu.

Sewaktu di Kolej Islam Kelang, dalam sebuah usrah yang dibimbing oleh seorang naqib saya bertanyakan soalan mengapa Nabi Muhammad meminta kita mencintai Saidina Husin cucunya? Naqib itu yang hari ini menjadi seorang ulama tersohor menjawab. "Ia cinta seorang datuk kepada cucunya." Sejak hari itu saya memutuskan diri dari kata-kata batil sedemikian. Masakan itu sekadar cinta seorang nenda kepada cucunda? Nabi Muhammad adalah seorang utusan Allah. Setiap kata-katanya, tindak-tanduknya adalah daripada Allah swt. 'Dan tidaklah yang diucapkannya (Nabi Muhammad) itu menurut hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan.' Demikian firman Allah dalam surah An Najm pada ayat 3 dan 4.

Tentu, Saidina Husin terbunuh di Karbala kerana gabungan perbuatan khianat penduduk Kufah dan kezaliman Yazid serta sekutunya; akan tetapi duhai, tidakkah kejadian itu sebenarnya mempunyai sebab. Seperti mana yang saya kuasai ketika menulis fiksyen, plot itu adalah sebab dan akibat. Nah, 'akibat'nya ada di Karbala; dan saya baru pulang dari Madinah mengerjakan haji dan ziarah, 'sebab'nya pula ada di Madinah. Sebab yang menyayat hati, akibat yang amat tragis. Sejarah ada kausaliti. Sebab dan akibat. Saya harus mencari. Kerana itu saya bergegas ke sini. Segera saya teringat bab-bab awal buku Fitnah Terbesar Dalam Sejarah Islam karangan Taha Husain yang telah diterjemah ke bahasa Melayu dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1990.

"Kenapa enta di sini?" Soal Husin bagaikan tidak berpuas hati dengan jawapan saya. Lamunan saya mati andar. Sungguh, saya memberanikan diri menyeberangi sempadan Iran menuju ke sini kerana saya ingin mencari. Saya sedang memburu bahan untuk menyiapkan sebuah buku akademik mengenai drama perkabungan (ta'ziyeh) Imam Husin untuk dibandingkan dengan drama perkabungan Jesus (liturgy) dalam Kristian bermazhab Katholik. Di tanah air saya diasak tohmahan yang saya adalah seorang syiah kerana minat saya mengkaji wilayah kabur ini. Saya tidak apa-apa dituduh. Hanya Allah dan Nabi Muhammad SAW yang akan menilai duduk iman saya. Saya tidak akan berkongsi kubur dengan sang penuduh.

Mencintai

Husin tiba-tiba berbicara, "Faisal, kalau kita benar-benar mencintai Rasulullah maka kita pun meraikan kelahiran baginda, kita raikan pula israk mikraj, kita raikan setiap kegembiraan baginda Nabi Muhammad SAW. Mengapa ketika kesedihan dan kedukaan Nabi Muhammad kita mahu melupakannya dan tidak mahu menangisinya seperti yang Rasulullah SAW lakukan? Bolehkah enta mencintai Rasulullah dan hanya bersama dengannya ketika senang dan meninggalkan baginda nabi ketika baginda bersedih? Tidakkah itu janggal sekali? Dan adalah jelas, Nabi Muhammad SAW berada dalam keadaan duka oleh kesyahidan cucunya yang dianiaya sedemikian rupa."

Petang itu saya harus berangkat ke Samarra. Jalanan sudah kian sesak dengan penziarah yang siap berkabung mengenang Saidina Husin, cucu Rasulullah SAW. Saya bimbang menongkah arus manusia di jalanan akan melambatkan pergerakan menuju ke Baghdad yang penuh bahaya.

"Tunggu ana di sini, di Karbala." Kata saya kepada Munir dan Husin. "Ana ke Samarra hanya seharian, esok kembali ke sini."

Munir mengangguk. Husin tersenyum. Matanya bening. Saya memegang tangan Husin dan membuka genggamannya, pada telapak tangan anak muda itu saya letakkan pengikat kunci Menara Berkembar Petronas. Dia memeluk saya. Sungguh gembira. Katanya dia mahu mengumpul wang untuk belajar bahasa Inggeris di Kuala Lumpur. Kemudian Munir dan Husin memberikan saya sekeping gambar yang siap dibingkai. Foto Makam Imam Hasan Askari dan Hadi Naqi di Samarra yang dibom pengganas wahabi. Saya memegang bahu Husin, "Ana akan kembali. Tunggu ana di Karbala. Di sini."

Mereka berdua menghantar saya naik teksi. Husin menangis. Munir menyabarkan. Saya sendiri mengulum sebak. Malam itu dalam perjalanan ke Samarra, teksi yang saya tumpangi berkali-kali ditahan askar di pos kawalan. Ketika tiba di Baghdad, pengawal di salah sebuah pos kawalan memberitahu sesuatu kepada pemandu teksi. Dalam keadaan terlayang dek kepenatan dan kurang mendengar buah butir percakapan mereka, saya hanya mengabaikan. Hanya apabila kami berhenti untuk solat subuh di sebuah masjid di tepian jalanan pemandu tersebut mengkhabarkan, "Ada letupan di Karbala. Letupan itu 150 meter dari zarih Imam Husin. Ratus penziarah syahid di hadapan bapa sekian syuhada."

Saya menunaikan solat subuh dalam keadaan bergenang air mata. Saya berdoa supaya Allah menjaga Munir dan Husin. Saya ingin menemui mereka lagi di Karbala. Saya ingin meneruskan persahabatan ini. Saya mahu Munir dan Husin belajar bahasa Inggeris di Kuala Lumpur nanti.

Dan apabila saya patah kembali ke Karbala di penghujung hari, menunggu di tempat yang sama. Tampang mereka berdua tiada. Saya mencari Munir dan Husin di tempat biasa mereka memasak bubur oat yang lemak itu. Seorang teman mereka, Musa, memberitahu dengan wajah sayu, dengan tutur kata bercampur duka dan ria.

"Mereka telah syahid. Mereka terkorban dalam letupan kelmarin. Dan pada tangan Husin tatkala ia berpaut pada zarih Imam Husin ada pengikat kunci. Ada pengikat kunci enta yang dibawanya ke syurga bersama."

Duhai, dukaku Husin. Dukaku Husin. Saya menangis tanpa henti pada hari itu. Saya masih ingat. Ia pagi sepuluh Muharram. Saya kehilangan dua Husin. Muharram ini hampir setahun saya berkenal dengan Munir dan Husin, kata-kata saya, 'Tunggu ana di Karbala', masih bergaung dan bergema; menalun dalam dada. Dan saya sering bertanya, 'Mengapa mereka membunuh Husin, mengapa?"

sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0103&pub=utusan_malaysia&sec=Sastera&pg=sa_01.htm&arc=hive

sumber : http://tehranifaisal.blogspot.com/2010/01/cerpen-tunggu-ana-di-karbala.html

.............................................................................
....................................................
....................
....
.

Cerpen ini disiarkan dalam Mingguan Malaysia pada 03/01/2010, aku dari kecil memang baca akbar Utusan dan pada hari minggunya Mingguan. Ini adalah kerana Utusan merupakan penyambung lidah perjuangan bangsa yang kekal relevan sehingga kini.
Aku baca cerpen ni masa tu aku ada kat Kuantan dalam pukul 10.00 pagi selepas menemani isteri aku ke Pasar Pagi di Jaya Gading. Tiba tiba mata aku terpaku ketika membacanyanya walaupun ia tidak menceritakan secara lansung tentang peristiwa syahidnya Saiyidina Husin r.a tapi hati aku cukup sayu apabila membacanya.